Monday, December 13, 2010

TAUTAN MASA PENGABDIAN RASA

SUBUH... tersinggung senyuman horizon di sebelah timur. Salam setia pamitan malam pun dihulur. Kelibat fajar menyerak dingin. Tirai hari dikuak tenang. Berderai tinggkas unggas di rimba, bersahutan kokok ayam di desa. Lalu azan mengguris kesunyian alam, menitik air wuduk di wajah kita. Tuhan berkatilah umur ini seadanya. Solatku, hidupku, matiku dan seluruhnya hanya buat-Mu pencipta subuh.

DHUHA... ketika muqaddimah kehidupan berlalu pantas, sewaktu biduk diri belayar di selaut tugas, mentari pun makin dermawan dengan sinaran. Rezeki tuhan terus ditagih- pinta, nikmatNya terus diraih- teroka... segala yang di samudera, darat dan udara. Sebutir keringat segunung permata. Namun manusia tidak alpa, supaya hati ingat Pemberi nikmat, istirehatkan sebentar jiwa dan perasaan agar terus tenang dalam kesibukan. Di solat Dhuha... pintalah bantuan.

ZUHUR... tergelincir mentari di separuh safarnya, namun kepanasannya membahang jua. Keletihan menjilat seluruh jasad, mengantuk menyerang pelupuk mata. Demi rezeki, kerja diteruskan jua.
Di tapak binaan pencakar langit... upah buruh terus menggamit.
Di bursa saham yang serba sengit... masih rancak tukaran ringgit
Di pejabat pentadbiran dan pengurusan... masih banyak fail dan tugasan
Di laut gelanggang para nelayan... jaring dan pukat terus melamar ikan
Namun... jangan sesekali terlupa. Di masjid, di surau atau di pinggir meja, solat menunggumu dengan setia. Sebagai penawar jiwa yang penat, munajatlah lewat Zuhur... empat rakaat.

ASAR... sinar mentari pun lesu mengirim keredupan. Angin gemalai membelai wajahpetang. Merpati sejoli bercanda di taman. Sekeluarga bersantai di pepohonan nan rendang. Keindahan, kelembutan sore, kekadang mengalpakan, lalu Tuhan mengingatkan:
“ demi waktu asar, manusiaa seluruhnya dalam kerugian, kecuali yang beriman dan beramal dan yang saling berpesan dalam kebenaran dan kesabaran”.
Lalu penuhilah sumpah Tuhan itu, agar jiwamu tak gusar, emosimu tak sasar, agar jalan hidupmu tulus dan lurus, agar kemudi diri tak pincang kecundang. Di waktu asar, solatlah! Allahu akbar!

MAGHRIB... senja bertamu di persada buana. Remang- remang jingga mengukir isyarat untuk makhluk mula berehat. Tabir hari berlabuh di kaki langit mengiringi unggas pulang ke sarang, setelah puas menikmati rezeki siang. Suami sudah lama pulang melepas lelah setelah disapa senyum si isteri di pintu rumah.
Alhamdulillah... di antara gelap dan terang, di antara malam dan siang, ada sejalur senja yang memisahkan. Begitulah nantinya alam barzakh- yang hidup pasti mati.
Oh, sehari lagi mendekati kubur. Itulah ‘senja’ alam dunia dan akhirat. Bukalah mata hatimu untuk melihat dari alam syahadah kea lam ghaib... dalam solatmu di waktu maghrib.

ISYAK... sebelum mata tertutup dalam dakapan malam, setelah jasad berehat dari segala kerja dan urusan, kalau cuaca terang... dongakkan kepalamu ke langit. Lihatlah bulan dan bintang yang berkelip, cecahlah indah. Ucapkanlah subahanallah.
Kalau cuaca gelap... tundukkan kepalamu ke bumi, mungkin hujan rebut akan bertandang. Takutilah musibah. Ucapkanlah innalillah.
Walau sejuk air di telaga, sekalipun malas menyerang anggota, tapi gagahilah diri demi Ilahi. Berwuduklah untuk fardhu yang terakhir. Apungkan zikir paling suci ke bibir. Tuhan pertautkan cintaku yang retak- di solat Isyak.

DINIHARI... dua pertiga malam yang sepi, titis embun berguguran di hujung daun, rerumput basah menjunjung embun, dingin menyelimuti insan di kasur peraduan. Kekadang lena dibuai mimpi indah. Kekadang resah dipagut igauan ngeri. Saat inilah yang terpilih buat pertemuan dua kekasih: percintaan insan dengan Tuhan.
Semakin wangi sunyi- sunyi begini dan jiwa suci itu telah sedia dihujung hari untuk kembara bersama... tahajjud di dinihari.
Demikianlah... pergiliran masa perubahan warna dan suasana, namun pada diri mukmin sejati, ada sesuatu yang terus abadi, pengabdian rasa... demi Yang Esa.

Tuesday, November 9, 2010

MILIK AKUKAH HATI ITU??

Milik siapa hati ini???

Tatkala aku mendambakan hadirnya cinta seseorang....

Aku hanyut dibuai arus angan- angan...

Tanpa kusedari, aku makin menjauhiNYA...

Semakin kucuba mencari kembali diriku yang telah lama hilang itu, aku semakin buntu...

Tiada cahaya yang menyinari jalanku...

Membantu aku menyuluh kegelapan yang memesongkan aku...

Puas sudah kuredah lautan cinta yang aku cipta ini,

Namun samar yang menyapa, menyelubungi dan menghantuiku...

Ya Allah, bilakah semua ini akan berakhir???

Bilakah saatnya akan kutemui semula diriku yang hilang itu?


Hanyut... makin hanyut..

Sepi...makin mendampingi,

Tarbiyyah itu, makin menghilang

Dek rakusnya hatiku mengejar duniawi ini.

Berdosakah dikau wahai dunia? Atau akukah yang salah dalam melewati isi hatimu wahai dunia?

Diri...sampai bila kau akan begini?

Sampai bila sang nafsu harus merajai hatimu itu?

Sampai bila sang nafsu itu harus meratah tarbiyyahmu itu?

Sampai kapan pun, selagi tak kutemui cahaya itu,





Selagi itulah ku kan terus hanyut melewati fatamorgana di bumi fana ini.

Cahaya itu....

Makin malap

Cahaya itu...

Makin mengecil

Cahaya itu...

Makin suram.

Bangun! Bangunlah wahai diri,

Jalannya terbentang luas,

Meminta engkau melaluinya,

Tanpa menoleh lagi masa gelapmu.

Bangkit, hayunkan langkahmu!

Langkahan seorang mujahid, berani melawan musuh yang merantai jiwanya

Langkahan seorang abid, yang menyesali segala kesalahannya

Butuh, bisa meruntuh egomu.

Masuklah pintu rahmat Ilahi...

Sabarlah jiwa, walau dugaan menimpa...

Bukan semudah yang disangka

Andai jatuh, bangunlah semula

Kumpulkan segala kekuatan yang ada,

Ingat janji Allah yang maha kuasa,

Barangsiapa yang bersabar dengan ujiannya,

Maka akan ku ganjarkan balasannya berlipat kali ganda yang tiada tandingnya di syurga sana.

Meniti kehidupan, bukanlah semudah yang disangka..

Bertatih, merangkak dan berjalan

Semuanya memerlukan kesabaran dan kesungguhan.

Tanpa mengeluh dan berputus asa,

Semuanya dijanjikan ganjaran

Moga hikmah yang terselit dalam khazanah makrifat Ilahi.

Bisa menjadi wadah kekuatan diri.




>>>> 3.57 am (sabtu)>>>>>
INGATAN BUAT DIRIKU....

Monday, March 15, 2010

Salam sedingin qutratunnada yang menitis membasahi bumi..... Alhamdulillah, aku masih lagi bernyawa dan bisa menikmati nikmat-Nya. Maha suci Allah yang Maha meniliki segala kesempurnaan. Kalau aku bukanlah hambanya yang tahu menghargai segala nikmatnya, tentulah aku ini tergolong didalam golongan yang kufur nikmat.(na'uzubillahi min zalik).
(Ibrahim:7). وإذ تأذّن ربّكم لئن شكرتم لأزيدنّكم ولئن كفرتم إن عذابي لشديد
Ya Allah, sepanjang minggu ini, kurasakan tiada upaya untuk aku teruskan perjuangan hidup merentasi arus cabaran yang mendatang. Pelbagai ujian yang menimpa diri ini tatkala aku hampir- hampir tersasar jauh darimu. Mungkin inilah yang dikatakan kifarah bagi segala kekhilafan dan kealphaanku terhadapMu ya Tuhanku. Teringat kata- kata yang aku baca dalam takwim harianku yang juga merupakan mafhum daripada hadis Nabi (saw) yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang berbunyi:
"Tidak ada Muslim yang ditimpa kesusahan , kesakitan yang berlanjutan, krisauan, kesedihan, kecederaan atau kekhuatiran ataupun oleh duri yang mencucuknya melainkan Allah akan menjadikannya sebagai ganti rugi bagi dosa- dosanya..."
Ya Allah, maha berat balasanMu. Ini baru di dunia, di Mahsyar kelak??? Entahlah, mungkin lebih pedih balasanNya jika dibandingkan dengan kifarah yang di berikan di dunia ini.
Exam makin menghampir, namun aku masih lagi tidak memulakan langkah untuk menuju kepadanya. Hilang segala semangat yang dilaung- laungkan semasa awal semester dulu, dek timbunan kerja yang mencurah- curah akhir- akhir ini. Kerja last minit yang amat disukai oleh setiap insan yang bergelar pelajar. Sudah berbuih mulut pensyarah- pensyarah menasihati kami untuk mendahulukan sebarang assignment/ kerja sekolah yang diperolehi awal, tapi macam biasalah, waktu- waktu yang kritikal seperti inilah yang dipilih. Huh... memang penat.
aku masih lagi bertahan untuk menempuh hari- hari mendatang... Moga- moga semangat yang telah hilang dulu, muncul kembali.....
JADUAL FINAL EXAM....
KHAT 2 19/03/10
BM KERJAYA 24/03/10
FIQH SIRAH 27/03/10
ARABIC LEXICOGRAPHY 29/03/10
FIQH IBADAT 02/04/10
CURRICULUM & INSTRUCTION 03/04/10
INTRO TO GEN. LINGUISTICS 05/04/10
MA'ANI 08/04/10
**** BUAT SEMUA SAHABAT2 DI INSTITUT PENDIDIKAN UIAM, SELAMAT MENEMPUHI PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER 2, BITTAUFIQ WANNAJAH.....*****

Friday, February 26, 2010

Keagungan solat

* Solat adalah kewajipan pertama setelah ikhlas dan tauhid. Allah berfirman yang bermaksud: “pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadanya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan demikian itulah agama yang benar”. (al- bayyinah 98: 5)
* Nabi saw melakukan bai’ah (sumpah setia) pada solat. Jabir b Abdullah r.a berkata: “ aku pernah bersumpah kepada Rasulullah saw untuk menegakkan solat dan menunaikan zakat serta member nasihat setiap malam.”
* Solat adalah tiang agama
* Amalan pertama yang dihisab pada hari kiamat adalah solat
* Allah mengecam keras orang- orang yang mensia- siakan solat
* Solat berfungsi sebagai penghapus dosa
* Allah memerintahkan kita untuk meminta pertolongan dan perlindungan kepadaNya melalui solat
* Api neraka tidak akan membakar bekas sujud orang yang mengerjakan solat, sewaktu mereka masuk ke neraka di atas dosa- dosa yang mereka lakukan
* Yang membezakan orang- orang mukmin dan orang- orang munafik pada hari kiamat adalah sujud
* Solat adalah penghibur dan buah hati Rasulullah saw
* Solat adalah wasiat terakhir Rasulullah saw
* Syaitan selalu berusaha untuk memutuskan solat daripada manusia.


sumber: solusi isu# 9