Friday, June 5, 2009

Mengibadatkan kerja

MANUSIA digalakkan bekerja untuk mencari rezeki bagi menyara diri dan keluarga. Pekerjaan yang dilakukan seharusnya dijadikan ibadah yang mendapat pahala di sisi Allah s.w.t.

Pekerjaan dalam pengertian luas meliputi semua bentuk usaha dilakukan manusia sama ada dengan tenaga mahupun fikiran, sama ada berkaitan masalah keduniaan atau keakhiratan.

Sehubungan itu, al-Quran banyak menyebutkan akidah dan iman dikaitkan dengan ayat mengenai kerja. Allah berfirman yang bermaksud, “Sesiapa mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan baik, dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” (An-Nahl: 97)

Oleh itu, kerja yang dilakukan dengan ikhlas, amal soleh dan dalam keadaan beriman kepada Allah dianggap ibadah yang mendapat pahala disisi-Nya.Setiap kerja atau pekerjaan dilakukan mestilah kerja yang halal di sisi-Nya kerana hasilnya akan menjadi rezeki dan darah daging sendiri serta ahli keluarga.


Sesungguhnya, Allah mengingatkan dalam firman-Nya yang bermaksud, “Sesiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalas melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan sesiapa mengerjakan amal soleh, baik lelaki, mahupun perempuan, sedang ia dalam keadaan beriman, maka ia akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa hisab.” (Al- Mu’min: 40)

Konsep dan amalan kerja sebagai ibadah sudah lama diterapkan dalam sektor perkhidmatan awam dan swasta di negara ini dan menjadi amalan yang baik.

Dalam hal ini, perbuatan tidak baik dalam pekerjaan seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, cuai, ponteng, malas, penyelewengan, tidak menepati masa dan tidak berkerja bersungguh-sungguh mesti dielakkan.

Ingatlah peringatan Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya (pengetahuan) Tuhanku, meliputi apa yang kamu kerjakan.” (Huud: 92).

Allah seterusnya memberi peringatan yang bermaksud, “… Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” (Al-Araaf: 180)

Dalam membina kebahagiaan hidup, penting difahani konsep kerja sebagai ibadah. Jika seseorang bekerja bersungguh-sungguh, taat, rajin dan jujur, rezeki yang diperoleh mendapat keberkatan.

Keberkatan di sini bermaksud, walaupun rezeki itu sedikit ia sentiasa cukup untuk menyara kehidupan.

Jadilah orang yang lembut hatinya, rajin bekerja untuk kebahagiaan dunia dan akhirat serta jiwanya lebih dekat kepada Allah dalam melaksanakan apa juga tugas yang diamanahkan.

Daripada Ubai bin Ka’ab r.a, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, “Berilah khabar gembira kepada umat ini dengan keagungan, ketinggian, kemenangan dan kekuasaan di bumi. Sesiapa yang mengamalkan amalan akhirat kerana dunia, ia tidak mendapat bahagian (ganjaran baik) di akhirat.” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Amalan pekerjaan yang baik dilakukan dengan ikhlas kerana Allah di dunia akan mendapat ganjaran setimpal di akhirat. Jadikanlah amalan di dunia untuk kebaikan di akhirat.

Khalifah Umar al-Kattab pernah menyatakan, “Andai kata aku mati di antara kedua kakiku yang bekerja mencari anugerah Allah s.w.t adalah lebih aku sukai daripada aku mati atau terbunuh sebagai mujahid fisabillah.”

Dengan hal demikian, khalifah Umar bersabar pada ungkapan al-Quran mengenai kerja dan mencari rezeki di samping berjihad dan berperang di jalan Allah sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud; “…Dia mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang yang sakit dan orang yang berjalan di muka bumi mencari sebahagian kurnia Allah dan orang lain yang berperang di jalan Allah…” (Al-Muzzamil: 20)

Islam sangat menggalakkan pekerjaan yang halal. Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Mencari rezeki halal adalah wajib selepas menunaikan yang diwajibkan.” (Riwayat Ath-Thabrani dan Al-Baihaqi)

Jelaslah, untuk memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat adalah dengan bekerja. Setiap kerja yang baik dan mengandungi kebaikan memberi faedah kepada orang ramai hingga Rasulullah menyifatkan mukmin sebenar adalah yang perkataan dan perbuatannya memberi faedah kepada orang lain.

Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah mencintai salah seorang di antara kamu yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan baik (tekun).” (Riwayat Al-Baihaqi)

Sifat amanah dalam tugas dan pekerjaan amat penting. Rasulullah adalah teladan unggul yang melakukan kerja secara berhati-hati, amanah dan berakhlak.

Islam menyeru agar umatnya bekerja dengan tekun dan bersemangat, hingga majikan akan memperoleh faedah dan keuntungan daripada hasil kerjanya. Islam tidak memandang pekerjaan, tetapi hasilnya mestilah baik dan halal.

Dasar utama dalam pekerjaan adalah bertakwa untuk mencari keredaan Allah.

Apapun bentuk dan jenis pekerjaan, takwa adalah petunjuknya. Memisahkan kerja dengan iman bererti menyingkirkan Islam daripada kehidupan dan membiarkan kerja mengikut kemahuan dan kebebasan hawa nafsu.

Kesimpulannya, lakukanlah apa jua pekerjaan halal yang disertai dengan iman dan takwa bagi memastikan ia menjurus kepada ibadah bagi mempertingkatkan peradaban manusia, khususnya umat Islam.

sumber: berita harian

1 comment:

MujahidahPuteri said...

salam.hehe,tp xselawa tuannya kan.hehe gurau je.wa....akk nye link xdok pun dlm blog org ni.xaci:-(