Sunday, October 19, 2008

Daripada kapal selam kepada isu sms Najib

Fahri Abdullah al-Masri
Sat | Oct 18, 08 | 5:51:11 pm MYT
Tup!! Tup!! Tiba-tiba kisah 'perbualan' sms antara Najib dan peguamnya Muhammad Shafee Abdullah meniti perbualan di restoren warung perasan Kg Baru. Encik Farhan dan pensyarahnya Dr. Jalal pagi itu sedang bersarapan sambil membaca akhbar. Iklan



Farhan kini sedang membantu Dr Jalal meneruskan kajiannya ke atas teknologi-teknologi orang Melayu satu masa dahulu sebelum kedatangan Islam di rantau ini. Antara teknologi yang dikaji ialah ilmu perumahan. Tapi, Farhan lebih berminat dengan kapal selam.

"Prof," kata Farhan, berdehem seketika sebelum memulakan perbualan, "saya tidak puas hati betul dengan pendirian kita menamakan dua buah kapal selam Scorpene itu dengan nama Tun Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak. Rasanya, macam kerja Najib je?"

Farhan selalu menanam curiga terhadap Najib. Mungkinkah Najib sengaja beli dua buah kapal selam itu, antaranya dengan sebab mahu meletakkan nama ayahnya pada dua buah kapal selam itu. Kapal selam pertama, diletakkan nama Tunku dan kedua pula diletakkan nama Tun Razak. Majlis meletakkan nama itu berlangsung baru-baru ini di Sepanyol.

"Semolek-moleknya letaklah nama panglima, hulubalang macam Hang Tuah, Hang Jebat dan lain-lain. Bukan tidak pernah buat sebelum ni. Ini tidak, hulumangkuk dan mangkuk hayun yang dapat nama!" katanya, sambil membuang resah di selekoh tajam di jalan Raja Muda Musa.

Dia kemudiannya membuka helaian demi helaian majalah Dewan Budaya Oktober ini. Di dalamnya termuat satu tulisan seorang pengarang bertajuk, 'Raja Suran, Pencetus Idea Kapal Selam Pertama di Dunia?'

Diselaknya helaian demi helaian dan akhirnya tiba di halaman 38. Si penulis melontarkan pandangannya bahawa Raja Suran adalah antara pencetus idea mewujudkan kapal selam di dunia. Catitan itu dirakam oleh penulis tersebut melalui Sulalatus Salatin.

"Hah! Prof baca ni," jari telunjuk Farhan merujuk kepada beberapa perenggan yang agak menarik perhatian. "Disebutkan di sini, bahawa kapal selam itu disebut sebagai 'peti kaca berkunci dan berpesawat dari dalam'. Cuma, ungkapan kapal selam belum ada."

Dr. Jalal, pensyarah Pengajian Melayu itu kemudiannya membuka Sulalatus Salatin, lalu dia menyemak semula catatan sebenar dalam buku yang diselenggarakan oleh A. Samad Ahmad itu. Satu persatu disemaknya dan akhirnya ditemui catatan di halaman 14.

Maka Raja Suran fikir dalam hatinya, "Bahawa isi darat telah aku ketahuilah, dan segala isi laut bagaimana gerangan rupanya? Jika demikian, baik aku masuk ke dalam laut, supaya aku ketahui betapa halnya?"

Setelah baginda berfikir demikian, maka baginda pun menyuruh menghimpunkan segala pandai dan utus, maka dititahkan baginda berbuat sebuah peti kaca berkunci dan berpesawat dari dalam.

Dia menutup kembali bukunya, dan merenung ke dalam mata pegawai penyelidiknya itu dalam-dalam. Dia rasa sedih melihatkan kebodohan Najib. Tapi, di dalam kesedihan dan kepiluan itu, tetap hadir semacam keindahan. Kepedihan dan kesedihan pun sebenarnya suatu jenis keindahan juga. Sedih dan pedih ketika terkenang kebodohan penguasa.

Dua keeping roti canai sedia terhidang di depan mereka. Tidak lama selepas itu dua gelas teh tarik telah dihantar. Sambil makan, Dr. Jalal mengeluh, "Hai Najib, Najib."

Scorpene patut dinamakan Raja Suran, bukan Tun Razak dan Tunku!
"Jadi sebenarnya Raja Suranlah yang lebih layak dinamakan ke atas kapal selam Scopene itu. Raja Suran membina kapal selam dan berkahwin dengan seorang puteri di dalam laut sehingga lahirlah zuriat-zuriatnya di sana.

"Tetapi, Najib membeli kapal selam sehingga membabitkan kematian seorang puteri dari benua Monggolia. Apa kejadahnya Prof?" herdik si Farhan dengan penuh perasaan geram bersarang di dada. Menetas ilham dan pecah keraguannya ke atas dongeng mitos itu.

Prof Jalal terkenangkan sesuatu, apabila Raja Suran telah naik ke darat, baginda telah pun meminta ahli bijaksana merakamkan hikayatnya turun ke laut itu ke atas batu bersurat. Ia juga dikenali sebagai prasasti, iaitu sejenis rakaman penulisan ke atas batu.

Tiba-tiba dia teringat kiriman mel-e daripada rakannya, Dr Hamdan tentang batu bersurat Raja Suran itu. Lalu dia keluarkan fail baru di mana dia letakkan semua mel-e itu.

"Ah! Dah jumpa. Kalau awak nak kaji batu bersurat Raja Suran tu. Baik awak baca mel-e Prof Hamdan kepada saya," lalu fail yang penuh dengan mel-e rakan-rakan penyelidik itu bertukar tangan. Farhan menyambut fail itu dan kemudian membacanya berhati-hati.

Salam Dr Jalal,

Pertanyaan tuan itu saya cuba jawab sebaik mungkin. Pertamanya, batu bersurat yang saya kaji setakat ini berasal dari Funan, Campa, Sriwijaya, Ligor, Kedah, Kutai, Jawa dan lain-lain. Jumlahnya mencapai 1000 buah. Namun, tiada batu bersurat Raja Suran itu dalam simpanan saya sekarang.

Dalam bengkel lalu, saya sebut batu bersurat Campa, yang keseluruhannya berjumlah 210 buah, pecahannya 127 bahasa Campa, 27 bahasa Campa-Sanskrit dan 56 bahasa Sanskrit. Daripada semua itu, 154 yang mengandungi bahasa Campa itu, 37 telah dikaji. Saya akan masukkan transkripsi 37 buah ini dalam blog atau laman web fakulti.

Berhubung batu bersurat Raja Suran yang disebut dalam Sejarah Melayu itu, saya dapat maklumat bahawa ia telah dimusnahkan dengan bom oleh British yang menemuinya di Singapura. Ini dilaporkan oleh Abdullah Munsyi. Tetapi, saya tidak pasti samada hal ini wujud dalam hikayat beliau, atau tempat lain.

Alasan British ialah batu tersebut itu dalam bahasa Benggali, dan tiada kalangan mereka yang boleh membacanya. Ini tidak masuk akal sebab mereka menakluki India, boleh upah sesiapa saja kalangan Benggali untuk membacanya. Rasanya mereka ada agenda lain.

Seorang Kurator Pengajian Melayu di British Library Dr Isabelle dia pun tahu akan hal ni ketika saya bertanyakannya. Tetapi kami tidak mengkaji seterusnya. Saya percaya salinan batu bersurat ini ada di Britain. Wassalam.

P/S: Dr Jalal, kes sekatan KPT ke atas geran penyelidikan 11 bilion Euro tu macam mana perkembangannya sekarang? Dah selesai ke?

Farhan menyerahkan kembali mel-e itu kepada Dr Jalal. Dia pun berangan-angan dirinya bagaikan watak Dr Robert Langdon dalam filem dan novel terlaris, Da Vinci Code.

Semua ini mesti ada konspirasi di mana ada dalang tertentu yang cuba menyembunyikan sesuatu seperti rahsia yang cuba disembunyikan oleh pelukis Leonardo Da Vinci itu. Dia rasa, mungkinkah batu bersurat yang asal itu masih wujud. Salinan itu pula mungkinkah direka-reka British dan tulisan di situ entah betul atau pun tidak. Ah! Keliru fikiran.

Sekarang, dia perlu menyiasat, salinan batu bersurat itu di British Library. Apakah sebab British memusnahkan batu bersurat itu dengan bom sampai begitu sekali? Bom apa yang digunakan? Adakah bom C4 sepertimana Puteri Benua Monggolia itu dibunuh?

Huh! Jika dia punya kekuatan sastera Melayu purba seperti Tun Seri Lanang, nescaya dia mengarang alkisah Hang Najib dan juak-juaknya membuang Dang Altantuya dengan C4 adanya. Biar umat Glokal Hadhari masa depan akan ambil iktibar daripadanya.

Wah! Jika demikian alangkah kejamnya British dan Najib. Najib menghilangkan jiwa dan raga Puteri Benua Monggolia dan British membunuh salah satu ramuan tamadun Melayu dengan meletupkan salah satu daripada peninggalan warisan terpenting terdahulu.

Pemimpin bengap
Adakah kerajaan Malaysia boleh saman British? Hal inilah yang tiba-tiba menyucuk pula fikirannya? Tidak mungkin. Abdullah dan Najib sama bengapnya di dalam hal akademik. Lihat sajalah bagaimana Ali Rustam sanggup bagi gelaran Datuk untuk Shah Rukh Khan, walhal dia Pengerusi Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam. Alangkah bengapnya bakal Timbalan Presiden Umno itu!

Memang tercatat juga kisah kehebatan Badang di dalam Sulalatus Salatin dan bagaimana kehebatan Badang, hulubalang istana itu sampai ke pengetahuan seorang hulubalang dari Benua India. Mereka beradu tenaga dan akhirnya Badang menang.

Tapi, diriwayatkan juga bahawa Badang dan hulubalang itu bekerjasama menarik sejenis rantai besi sepanjang Selat Tebrau itu. Ah! Itu yang dipaparkan dalam filem Cathay Keris bertajuk Badang lakonan Wahid Satay. Entah betul atau tidak. Tapi, jika betul sekali pun tak terjumpa catatan bahawa kita beri bintang kepada hulubalang luar atas jasanya.

"Panjang mengelamun?" lamunan Farhan terhenti, ditegur Prof Jalal. Dia masih lagi tak banyak menjamah makanannya yang sedia terhidang. Dr Jalal dah habis tak tersisa.

"Bagaimana kita nak kaji Prof kalau geran penyelidikan tersangkut di pihak Kementerian Pengajian Tinggi?" tanya Farhan lagi dengan gelojohnya dia menghabis makanannya.

"Itulah yang sedang difikirkan," suaranya bergetar, kedengaran berbaur kekecewaan yang sangat mendalam. Pedih hatinya tatkala mengenangkan bagaimana dia terpaksa berdepan dengan karenah KPT yang kini menyekat dana geran penyelidikan bernilai 11 bilion Euro daripada sebuah society di sebuah universiti luar negeri.

"Apa kata kalau kita adukan hal ini kat Anwar?" Farhan mencelah. "Kalau PR ada wakil rakyat yang selalu ikuti perkembangan KPT bagus juga. Patutnya, mereka ni buat strategi macam tu. Lebih-lebih lagi, sekarang ni dekat pilihan raya kampus."

"Ah! Budak-budak ni pun satu. Penakut sangat! Kami pensyarah ni memang dah penakut. Kami di universiti memang lama sikit. Hangpa dua tiga tahun ja. Lepas tu belah. Selamat hangpa daripada tekanan HEP dan NC. Kami kalau dibuang, nak cari kerja mana?"

Fuiiyoh! Kalau sekali-sekala Prof Jalal marah, mengherdik dan 'menurun', naik syeikhnya jangan haraplah sesiapa pun yang dapat menyabarkannya. Pensyarah itu sebenarnya telah ada pengalaman berdepan dengan mahasiswa penakut ni. Itu Farhan tahu.

Puncanya satu saja. Kata Prof Jalal, mereka semua pakat-pakat nak jadi macam Hasan al-Banna, Syed Qutb, Gandhi, Jamaluddin al-Afghani, tapi tak ramai yang sedia mengambil risiko. Jawatan YDP, Presiden ini, kata beliau, adalah batu loncatan supaya nama mereka naik sebagai pimpinan parti politik, sama ada pembangkang atau kerajaan.

"Al-Banna, Gandhi, Malcolm-X ditembak mati. Syed Qutb dipenjara, mati di tali gantung dan Jamaludin al-Afghani merempat dibuang negara. Setakat dua, tiga tahun bertembung dengan HEP tu, perjuangan apalah sangat!"

"Sabar Prof, sabar. Rileks Prof, rileks!" Farhan cuba mententeramkan hati pensyarahnya itu. Kalau lagi tak terkawal, paras darah pensyarah itu meningkat. Kandungan gula nanti menjadi tak seimbang. Pada tubuh 50-an lelaki itu bersarang kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Farhan tidak mahu ambil risiko lebih-lebih.

Bebola mata keranjang Farhan yang suka melihat kelibat wanita bergetah itu jatuh semula kepada keratan akhbar pagi itu. Matanya jatuh dan tertumpah kepada Najib. Dia rasa, hal ini perlu disegerakan. Aku wajib menjatuhkan Najib. Ini kes sms Najib!

Ingatannya masih melayang kepada Batu Bersurat Raja Suran itu. Pada masa itu rakaman ilmiah dan catitan nilai sejarah mungkin dirakam atas zat yang sukar dibakar, sukar dicuri dan dipindahkan. Tapi, kini sms Najib kepada peguamnya pun tidak boleh dimusnahkan. Ada kemungkinankah British masih menyimpannya dan batu asalnya masih wujud?

Ha! Ha! Ha! Rasakan dikau wahai Najib. Apa!!! Kau ingat sms itu boleh terpadam begitu saja? Dulu catitan bersejarah tidak dirakam atas kertas kerana ia mudah terhapus. Apakah dengan teknologi terkini, sms akan mudah dihapuskan? Sesekali tidak wahai Najib!

Dalam laporan Sinar Harian Rabu lalu, ketika Najib disoal pemberita berhubung isu sms ini, Najib sekadar berkata, "Saya tidak perlu komen mengenai tuduhan tersebut. Perdana Menteri sudah memberi penjelasan." Aik! Bernaung di bawah ketika PM pasai pa?

Ada banyak tafsiran yang boleh dibuat ke atas kenyataan ini. Antaranya, betapa Pak Lah benar-benar tidak sayangkan negara dan rakyat kerana membela Najib. Memberi ruang kepada 'penjenayah' untuk memerintah negara, sememangnya suatu kesilapan besar!

"Dahlah mengelamun tu, cepat. Kita kena hadiri seminar tu sebelum wakil KPT rasmikan majlis tu," suara Prof Jalal kembali lembut setelah bahang kemarahannya kepada pelajar-pelajarnya sudah reda. Farhan dengan cepat bangkit lalu membayar harga minuman.

"Tuan Dolmat yang rasmikan majlis tu kan, kalau tak silaplah," kata Farhan ketika berada hampir menuju ke kereta.

"A'ah. Dan orang yang dihormati seperti itulah juga yang sedang 'screening', menyekat ke atas geran penyelidikan kita tu!" marah Prof Jalal kembali memuncak!

"Haa!" mulut Farhan sekali lagi ternganga dengan luasnya. "Betul ke?!"

Ketika itu juga Farhan merancang mahu ke syarikat Telco, sejurus selepas tamat seminar nanti. Dia bercadang mahu mengambil salinan teks sms Tuan Dolmat. Mana tahu, kalau-kalau selepas ini, dia boleh hantar salinan sms itu ke Parlimen!

Gilapan pertama
3:20 petang, 17 Syawal
Gilapan kedua
5:22 petang, 18 Syawal
Sekolah Pemikiran Kg Baru _

No comments: